Imam Ghazali menulis dalam Ihya Ulumuddin, “Adalah wajib pada setiap muslim yang terlibat dalam perniagaan mempelajari ilmu dalam menjalankan urusan jual beli. Apabila kita mengatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah satutanggungjawab, maka ilmu juga dimaksudkan dengan ilmuyang berkaitan dengan perniagaan dan perdagangan.”
Usahawan jahil menjalankan perniagaan dengan kejahilan dan melakukan pelbagai kesalahan dalam agama. Malah melanggar peraturan dan undang-undang sesebuah negara.
Usahawan yang mengendalikan bisnes tanpa pengetahuan dan ilmu, menimbulkan pelbagai masalah. Justeru usahawan yang bertanggungjawab akan menimba ilmu pengetahuan yang bersangkut paut dengan dunia perniagaan terutama sekali hukum dan adab muamalat dalam Islam.
Melalui pengetahuan agama, usahawan dapat membezakan antara perbuatan halal dan haram. Usahawan juga mampu menjalankan bisnes mengikut peraturan dan hukum yang ditetapkan Allah.
Perniagaan dalam Islam adalah berbeza dengan perniagaan yang dilakukan penganut agama lain. Sekiranya penganut agama lain bebas mengamalkan riba, menipu dalam sukatan,mengaut keuntungan sesuka hati, mengamalkan monopoli dan sebagainya, tetapi tidak bagi umat Islam. Islam mempunyai peraturan dan hukum yang tersendiri demi menjaga kebajikansemua manusia.
Sekiranya usahawan Islam menjalankan bisnes mengikut cara dan peraturan yang menyalahi agama, seolah-olah usahawan itu tidak mempunyai agama kerana orang yang benar-benar mempunyai agama pasti mengikut peraturan agama yang dianutinya.
Mempelajari pelbagai hukum dan adab muamalat membimbing usahawan menjadi manusia beriman. Usahawan perlu menjauhi sikap sesetengah usahawan yang berpegang dengan prinsip bahawa apabila tahu mengira wang, maka ia boleh menjadi usahawan.
Menurut Islam, mencari wang dalam perniagaan itu penting. Namun seseorang perlu memiliki ilmu pengetahuan dalam menjalankan bisnes supaya bisnes mendapat keuntungan yang halal dan berkat.
Ilmu pengetahuan perlu dipelajari dengan sebaik-baiknya jika mahu menjadi usahawan beriman. Pengetahuan perlu ditimba dan ditambah berterusan supaya mempunyai bimbingan dan panduan dalam menjalani perniagaan.
Pelbagai cabaran menimpa masyarakat pada masa kini berpunca daripada kejahilan usahawan. Kekurangan produk akibat ketamakan usahawan menyorokkan barang, membunuh haiwan ternakan bagi menaikkan harga, mengamalkan riba,membunuh bisnes orang lain dengan cara kotor adalah antara sikap usahawan yang jahil.
Husein Shahhathah (pensyarah di Universiti Al-Azhar) dalam buku Al-Iltizam bi Dhawabith asy-Syar’iyah fil Muamalat Maliyah mengatakan, “Fikah muamalah ekonomi, menduduki posisi yang sangat penting dalam Islam. Tidak ada manusia yang tidak terlibat dalam aktiviti muamalah, kerana itu hukum mempelajarinya wajib (fardhu ain) bagi setiap muslim.”