YABADABADOO ADVERTISEMENT

[Yabadaba-doo Advertisement] - The new Marketplace of Malaysia. - Free Post Ads all around Malaysia & WorldWide

Tuesday, January 30, 2007

Rajin bekerja?

Rajin Bekerja,Rajin Bercakap BAGUS
Rajin Bekerja, Malas Bercakap KENA BULI
Malas Bekerja, Malas Bercakap TAK GUNA
Malas Bekerja, Suka Mengadu LALAT HIJAU
Malas Bekerja, Selalu Ponteng LEBIH BAIK BERHENTI
Malas Bekerja, Suka Termenung LEBIH BAIK MATI
Rajin Bekerja, Rajin Mengadu KAKI BODEK
Di manakah ANDA ? -

Prof. DiRaja Ungku Aziz

Sunday, August 13, 2006

Perlembagaan malaysia tergugat?

Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan perlu diperjelas

BANGI: Peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan dan kedaulatan agama Islam perlu diperjelaskan kepada rakyat supaya pertikaian mengenainya tidak berbangkit dan permasalahan seperti isu murtad dapat ditangani dengan baik.
Antara peruntukan itu ialah Artikel 11 (4) yang melarang bukan Islam menyebar ajaran agama lain kepada masyarakat Islam dan Artikel 121 (1A) yang menetapkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara yang dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Itu adalah antara resolusi yang diputuskan di akhir Seminar Kebangsaan Kedaulatan Islam di Malaysia: Erti Dan Realiti yang dihadiri kira-kira 1,000 ilmuan, profesional dan aktivis Islam, di sini semalam.
Semua pihak yang bertanggungjawab dengan Islam hendaklah menjelaskannya kepada warga Malaysia,? kata resolusi itu.
Ahli panel forum itu termasuk Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria; Pengerusi Persatuan Peguambela Islam, Zainur Zakaria; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari; peguam Sulaiman Abdullah; peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Presiden Majlis Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.
Turut berucap pada seminar anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu ialah Presidennya, Datuk Dr Siddiq Fadhil. Seminar itu menggesa Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri segera menggubal dan melaksanakan akta dan enakmen yang menghalang gerakan penyebaran agama lain kepada umat Islam seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
(Kami) menyeru kepada semua Raja-Raja Melayu supaya prihatin dan tegas terhadap bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mempertahankan kedaulatan Islam supaya tidak dimanipulasikan mana-mana pihak,? kata resolusi itu.
Harussani dalam pembentangannya, meminta pihak berkuasa supaya memantau gerakan kumpulan bukan Islam di negara ini terhadap masyarakat Islam yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara.
Zainur pula berkata, Artikel 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa kepada Badan Perundangan Negeri berkuasa membuat undang-undang berkaitan.?Kita akan desak kerajaan negeri melaksanakan perkara itu,katanya.Prof Abdul Aziz pula menarik perhatian hadirin kepada Artikel 11 yang menyatakan setiap rakyat berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
Maknanya, orang Islam tidak boleh murtad...Perlembagaan Persekutuan mesti dijelaskan secara adil,katanya.Pandangan beliau turut dikongsi Kamar Ainiah yang menjelaskan maksud itu dinyatakan Perlembagaan Persekutuan menerusi perkataannya dalam agamanya?.Artikel 11 menyatakan seseorang itu bebas mengamalkan agamanya, bukan mana-mana agama, katanya sambil menambah Artikel 3 pula jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Tuesday, July 18, 2006

Barat terus menjajah...

Peraturan Barat menjajah dunia
Oleh HASSAN AHMAD

PERATURAN dunia sejak tahun 1492 ialah: Bangsa yang kuat berhak menjajah bangsa yang lemah. Dalam tahun itu kuasa Islam di Sepanyol tamat setelah berada di kawasan itu selama lebih 700 tahun. Dalam tahun itulah bermula sejarah penjajahan dunia Barat terhadap kawasan-kawasan di luar Eropah.
Dalam tahun itu juga Christopher Columbus meminta restu dan bantuan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dari Sepanyol untuk berlayar merentas Lautan Pasifik untuk mencari kawasan baru. Dia memberitahu raja dan ratunya bahawa kawasan yang hendak dicarinya itu ‘kaya dengan emas dan rempah’. Maka Columbus pun belayarlah bagi kali kedua setelah pelayarannya yang pertama gagal apabila kapal induknya bernama Santa Maria rosak di tengah lautan sehingga dia dan angkatannya terpaksa patah balik ke Sepanyol.
Akhirnya sampailah angkatan Columbus itu di sebuah kawasan yang disebut San Salvador (penduduk asli di situ menyebutnya “Guanahai”) di Kepulauan Bahamas. Itulah peristiwa yang menandakan bermulanya penjajahan dunia Barat atau Eropah di kawasan-kawasan bukan Eropah di Amerika (Utara dan Selatan), Asia dan Afrika.
Kisah pemusnahan etnik yang dilakukan oleh para kolonis yang datang mencurah-curah di Amerika selepas Columbus dikatakan menemui ‘Dunia Baru’ yang disebut ‘Amerika’ itu, sangat dahsyat, buas dan kejam. Kisah ini dirakamkan dalam sebuah buku bertajuk A Short Account of The Destruction of the Indies (terjemahan dari bahasa Sepanyol oleh Nigel Griffin (Penguin Books, 1992).
Buku ini ialah cerita yang disampaikan oleh seorang paderi muda Sepanyol bernama Bartolome De Las Casas, yang pernah mengikuti rombongan para kolonis Sepanyol ke Amerika dalam tahun 1484 dan menyaksikan kekejaman dahsyat yang dilakukan oleh orang-orang Sepanyol terhadap penduduk pribumi Cuba dan kawasan lain di Amerika.
Selepas itu, bangsa Sepanyol dan Portugis yang pernah diperintah oleh kerajaan Islam Andalusia (di Sepanyol) mulai memburu orang-orang Islam di mana sahaja mereka berada, sampailah mereka ke kawasan Dunia Melayu Islam awal abad ke-16, iaitu di Melaka dan di Filipina. Pada tahun 1511 kerajaan Melayu Melaka diserang dan ditawan oleh bangsa Portugis. Tentera Sepanyol memerangi dan menawan kerajaan Melayu-Islam di Manila. Penjajahan bangsa Portugis dan Sepanyol di Dunia Melayu Islam itu diikuti oleh bangsa Belanda dan Inggeris.
Sampailah kita ke zaman selepas Perang Dunia. Sebagaimana kita tahu, Perang Dunia I dan II dicetuskan di Eropah. Pertubuhan Antarabangsa yang disebut Pakatan Bangsa-Bangsa atau League of Nations ditubuhkan oleh bangsa-bangsa Barat selepas Perang Dunia Pertama, kononnya bertujuan untuk mengelakkan berlakunya perang dunia lagi.
Tetapi projek ini gagal. Perang Dunia Kedua dicetuskan, juga di Eropah dan merebak ke kawasan-kawasan lain. Salah satu punca yang menyebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua itu ialah Hitler pemimpin ultra nasionalis Jerman. Dia mengidamkan wujudnya sebuah negara bangsa Jerman yang ‘tulen’, bersih daripada kaum-kaum atau bangsa-bangsa bukan Jerman. Maka dia melancarkan tindakan menghapuskan semua kaum Yahudi dan kaum Gipsi yang berada di Jerman.
Amerika dan negara-negara Eropah Barat yang lain menentang tindakan itu - tentunya gerakan Zionis memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempengaruhi Britain dan negara-negara Eropah yang lain (kemudiannya termasuk Amerika Syarikat) supaya mencegah tindakan Jerman itu.
Setelah tamat Perang Dunia II, pihak yang menang mulai menciptakan peraturan baru lagi, kali ini bukan sahaja untuk dunia Barat atau Eropah tetapi untuk seluruh dunia, termasuk negara dan bangsa-bangsa yang menjadi mangsa perang Barat itu, dan tentunya tidak ketinggalan ‘Dunia Islam’. Pertubuhan antarabangsa baru, menggantikan League of Nations yang gagal itu, ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations).
Tetapi belum lagi kering segala luka dan kecederaan umat manusia seluruh dunia akibat Perang Dunia II itu, negara-negara Barat menciptakan punca krisis yang baru pula. Mereka berpakat untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi di tengah-tengah dunia Arab Islam di Timur Tengah. Mungkin roh Hitler terseksa mendengar berita buruk ini. Kalau sebelum itu kaum-kaum Yahudi menjadi masalah di Eropah kali ini masalah itu dipindahkan ke tempat lain.
Kalau dahulu orang Eropah, termasuk orang Rusia, dan tidak sahaja Hitler, sering membenci kaum Yahudi sehingga mereka melancarkan tindakan pogrom (misalnya di Rusia) untuk menghapuskan kaum ini daripada negara masing-masing, kali ini kaum Yahudi dikumpulkan dan disatukan dalam sebuah negara yang disebut Israel itu, dan dibenarkan membina senjata sekuat-kuatnya supaya kaum Yahudi dapat menjadi wakil tentera Amerika atau Barat untuk mencegah perkembangan kuasa Arab-Islam di sekeliling Israel itu.
Jadi, peraturan baru dunia yang dibina oleh dunia Barat selepas Perang Dunia II jelas. Peraturan itu ialah peraturan penjajahan yang bermula sejak tahun 1492 itu. Peraturan ini dapat kita rumuskan kepada empat sub-peraturan yang asas, iaitu:
* Pihak musuh atau pihak yang dianggap sebagai musuh (ini termasuk pihak yang ‘kalah’ dalam Perang Dunia II) hendaklah disekat daripada usaha dan percubaannya untuk membina senjata yang kira-kira dapat digunakan untuk mengugut kepentingan ‘kita’ - kepentingan ‘kita’ baik dalam negara ‘kita’ sendiri mahupun kepentingan ‘kita’ di kawasan dan negara orang lain, dan kepentingan ‘kita’ di negara musuh itu sendiri;
* Peraturan perdagangan dunia hendaklah menurut peraturan ‘kita’ atau untuk kepentingan ‘kita’. Pertubuhan seperti WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia), Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia hendaklah mengembangkan dan melaksanakan peraturan ‘pasaran bebas’ menurut kehendak kita. Persaingan hendaklah menggantikan ‘kerjasama’ dalam bidang perdagangan menurut kehendak ekonomi pasaran bebas itu, tidak kira sama ada negara anggota WTO itu mampu bersaing atau tidak, kaya atau miskin, sudah maju atau ‘sedang membangun’;
* Media massa dunia hendaklah mempromosi nilai dan pandangan ‘kita’; dan
* Budaya negara bukan Barat hendaklah diglobalisasikan supaya budaya tempatan, budaya pribumi - dan ini termasuk kepercayaan agama mereka, khususnya agama Islam - dapat ‘dicairkan’ melalui budaya dan nilai konsumerisme global itu.
Contoh bagaimana sub-peraturan (a) dilaksanakan oleh Amerika dan rakannya di Eropah, termasuk Israel, ialah peraturan ‘lucut senjata’ yang menjadi peraturan PBB selepas Perang Dunia II (peraturan PBB ini bererti, peraturan Baratlah). Bangsa yang kalah perang menentang Barat atau menentang negara yang disokong oleh Barat dilarang membina semula senjata mereka. Anehnya, peraturan ini tidak dikenakan kepada pihak yang ‘menang’ perang walaupun pihak itulah yang agresif, yang menceroboh dan menyerang pihak yang kalah perang itu.
Palestin, misalnya, tidak dibenarkan mengadakan kelengkapan tentera, membina senjata, untuk mempertahankan dirinya daripada musuhnya, iaitu Israel. Akibatnya, Israel boleh dengan bebas dan sesuka hatinya mengebom kawasan Palestin, memusnahkan harta dan membunuh rakyat Palestin, dan menangkap beberapa orang menteri Palestin (atau Hamas) semata-mata kerana seorang askar Israel ditawan oleh pejuang Hamas. Mereka tahu Palestin tidak dapat mempertahankan dirinya apatah lagi menyerang balas serangan Israel itu dengan jet-jet pejuang dan peluru berpandu. Inilah peraturan dunia yang dibuat oleh Amerika.
Orang Islam berkata, tindakan Israel itu ganas, kejam, tidak berperikemanusiaan. Tetapi dunia lain - dan ini termasuk PBB - tidak berkata begitu. Israel dan dunia Barat menanggap bahawa tindakan itu ‘patut’ dan ‘tidak salah’. Sebabnya ialah, pejuang Hamas yang memulakan tindakan ‘agresif’ dengan menawan seorang askar Israel! Bayangkan! Mereka marah kerana Hamas tidak mengakui kewujudan Israel. Israel dan Amerika - dua negara jaguh demokrasi - tidak menganggap Parti Hamas itu sah walaupun parti itu dipilih oleh rakyat Palestin melalui proses demokrasi bebas.
Jadi, inilah peraturan dunia hari ini. Yang berkuasa bukan kebenaran tetapi ialah kekuatan: Kekuatan senjata. Israel tidak mempedulikan kritikan dunia lain kerana, menurut peraturan dunia yang ada sekarang, mereka tahu dunia lain tidak dapat berbuat apa-apa untuk mencegah keganasan Israel itu. Cuba, kalau Palestin dan negara-negara Arab yang lain mempunyai kekuatan senjata - mempunyai peluru berpandu, jet-jet pejuang yang hebat dan canggih buatan sendiri (bukan buatan Amerika atau buatan musuh Islam) dan bom-bom nuklear, beranikah negara Yahudi itu mengkotak-katikkan Palestin, Lebanon dan negara Arab yang lain dengan begitu bebas dan liar?
Mereka tahu bahawa Iraq sedang kucarkacir dan sudah lemah senjata. Mereka juga tahu Iran sedang dihalang daripada meneruskan rancangan pembinaan kuasa nuklearnya dan mereka juga tahu bahawa orang Arab ‘Suni’ dan orang Iran ‘Syiah’ tidak bersatu - mereka sudah bermusuh sejak lebih seribu tahun dahulu. Jadi, kalau Palestin dimusnahkan oleh tentera Israel sampai ranap, tiada siapa yang dapat menyelamatkan negara itu. Orang yang lemah boleh terus menjerit, terpekik terlolong, mengadakan demonstrasi, dan sebagainya, tetapi orang yang kuat tidak mengindahkan jeritan itu. Inilah peraturan dunia hari ini.
Dalam pada itu Korea Utara tidak diserang oleh tentera Amerika, padahal negara itu dikatakan mempunyai senjata nuklear yang boleh menggugat sahabat atau negara klien Amerika, Korea Selatan. Amerika masih bersedia berunding dengan Korea Utara. Mengapa? Sebabnya ialah Korea Selatan bukan negara Islam dan letaknya jauh daripada Israel. Jadi, dari segi pengaruh ‘ideologinya’ Korea Utara tidaklah lebih ‘berpengaruh’ atau lebih ‘berbahaya’ daripada Islam. Ini tentunya pandangan orang seperti Hungtington yang menganggap Islam sebagai ‘ancaman’ terhadap tamadun dan ‘ideologi’ Barat. Inilah peraturan dunia hari ini.
‘Berkuasa’
Tentang sub-peraturan (b) dan (c), tidak usahlah dijelaskan di sini. Pembaca umum pun sudah dapat melihat dan memahami betapa sistem perdagangan dunia hari ini makin lama makin ‘berkuasa’ untuk terus memperkayakan dan memajukan ekonomi negara yang sudah kaya dan maju dan terus memiskinkan negara yang miskin, yang sedang membangun. Cuma hal yang perlu diberikan perhatian oleh para perancangan dan pelaksana pembangunan ekonomi kita ialah: Janganlah kita menggunakan peraturan penjajahan itu di Malaysia; kita terlalu ghairah atau taksub atau takjub dengan ‘kuasa’ pasaran bebas, sehingga ada kalanya untuk kepentingan ‘perdagangan bebas’ kita sanggup membiarkan harta negara - termasuk aset strategik - dijual kepada syarikat asing, syarikat luar negeri.
Kita perlu juga ingat bahawa dalam zaman globalisasi hari ini, perdagangan bukan lagi semata-mata merupakan kegiatan komersial atau ekonomi sahaja tetapi juga merupakan perusahaan strategik, seperti juga perusahaan membina senjata. Negara boleh jahanam jikalau sebahagian besar harta dan ekonomi negara berada dalam tangan syarikat-syarikat asing. Jangan lupa sejarah. Bangsa Inggeris dan Belanda dahulu menguasai dan memiliki kawasan kita - menjadikannya koloni mereka - melalui Syarikat Hindia Timur atau ‘East-India Company’ masing-masing. Raffles, misalnya, bertugas atau mewakili syarikat East-India Company Inggeris. Kalau sejarah berulang besar kemungkinan syarikat-syarikat global atau asing boleh menjadi alat penjajahan baru di negara ini.
Peraturan (d) penting kita berikan perhatian sebab kerosakan yang boleh dilakukan melalui proses globalisasi budaya terhadap minda bangsa kita, budaya dan agama bangsa kita, sering kali kita tidak nampak. Serangan tentera tidak dapat memusnahkan budaya atau kesedaran jati diri sesuatu bangsa, tetapi kesedaran ini boleh dimusnahkan melalui cara lain yang lebih halus.
Dalam hal ini bangsa Melayu-Islam di negara ini harus menyedari bahawa tiga menyelamat bangsa Melayu dalam sejarahnya menghadapi proses globalisasi di dunia Melayu dari tahun 1511 hingga tahun 1957 ialah (i) bahasa Melayu, (ii) budaya Melayu, dan (iii) agama Islam. Walaupun tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris, akhirnya berjaya menjadi pemerintah di kawasan kita, mereka tidak berjaya memusnahkan bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam. Tiga alat inilah yang terus menjadi asas kekalnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam di Semenanjung Tanah Melayu dan di beberapa banyak kawasan lain di Indonesia sebelum institusi raja dihapuskan oleh pemerintah Republik Indonesia selepas tahun 1945.
Hari ini, jikalau tiga alat pembentukan jati diri, alat kekuatan dan ketahanan tamadun bangsa Melayu-Islam itu musnah melalui proses globalisasi moden yang lebih agresif lagi, alamat bangsa Melayu akan musnah, akan tinggal tanpa apa-apa alat kuasa yang dapat menyelamatkan mereka lagi. Kemajuan ekonomi orang Melayu, kalau pun ada, belum tentu dapat menjamin ketahanan Melayu jikalau tiga alat tadi lemah atau tidak dijadikan asas atau acuan kemajuan Melayu itu dalam bidang-bidang lain.
Aliran fikiran ‘Islam liberal’ mulai merebak di negara ini. Seperti kata seorang pengembang agama (bukan Islam), cara yang paling baik untuk memusnahkan Islam ialah dengan mengubah kepercayaan atau akidah penganutnya, atau menjadikan penganut Islam, terutama dalam kalangan kaum muda mereka, ‘makin lama makin tidak yakin’ atau ‘ragu-ragu’ sama ada agama mereka itu ‘benar’ atau ‘tidak benar’. Masa yang paling baik untuk melakukan kempen ini, menurut pengembang agama itu, ialah sekarang ini, semasa seluruh dunia Islam sedang mengalami serangan kuasa-kuasa bukan Islam, tetapi nampaknya ‘Tuhan tidak campur tangan untuk menyelamatkan umat yang beriman menentang kaum yang tidak beriman, yakni kaum kafir’.
Teorinya ialah, jikalau sebahagian besar orang Islam di dunia ini ‘tidak lagi yakin bahawa Tuhan boleh menolong orang Islam yang kena bunuh, kena bom, kena seksa, dicabuli dan sebagainya’, maka iman dan amalan orang Islam terhadap agamanya makin lama pasti akan musnah, dan pada waktu itu Islam tidak lagi akan menjadi kuasa tamadun yang berpengaruh. Itulah teori orang yang merancang untuk memerangi Islam melalui penyebaran ‘budaya global’ dan melalui ideologi ‘Islam liberal’ dan ‘Islam pluralisme’. Teori ini boleh jadi salah, dan boleh judi benar. Salah kalau dilihat bahawa jumlah umat Islam di seluruh dunia dikatakan makin bertambah - sekarang melebihi 1.2 juta orang. Benar kalau dilihat dari segi merosotnya iman dan rosaknya akidah orang Islam terhadap agamanya. Jumlah atau kuantiti tidak penting. Yang penting ialah mutu dan kekuatan. Dari sekian banyak umat Islam itu berapa peratuskah yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam atau mereka hanya ‘orang Islam pada nama sahaja’. Kita tidak tahu apakah peratusnya, tetapi kalau orang hendak ‘melemahkan’ Islam sebagai suatu kuasa tamadun yang kuat dan berpengaruh caranya ialah dengan ‘melemahkan’ iman orang Islam terhadap agamanya.
Menyogokkan orang Melayu-Islam dengan pelbagai jenis hiburan secara bertalu-talu adalah salah satu cara yang mereka anggap berkesan untuk mengkhayalkan orang Melayu yang dikatakan suka ‘berseronok, berpoya-poya dan berpesta’. Saya dengar sudah ada beberapa pihak yang prihatin yang percaya bahawa di sebalik program-program hiburan khayal tertentu itu ada niat atau agenda ‘anti-Melayu-Islam’. Mereka menggesa pihak berkuasa supaya peka terhadap ancaman ini dan mengambil tindakan segera untuk 'menyelamatkan keadaan'.
Tambahan, sudah ada pula cadangan meminta kerajaan membenarkan tauke-tauke hiburan membuka kelab malam, karaoke dan disko di kawasan perumahan, yakni dekat dengan rumah-rumah kita, dan membenarkan tempat-tempat hiburan itu dibuka sampai jam 5 pagi. Kononnya dengan cara ini Malaysia akan dapat menarik pelancong untuk mencari hiburan di Malaysia, menggantikan kawasan lucah seperti Pat Pong di Bangkok, atau Pigalle di Paris, atau kawasan 'Lampu Merah" ('Red Light Dsitrict') di Amsterdam, dan di tempat lain. Saya berharap ini bukan kehendak 'Islam Hadhari' atau bukan kehendak Perdana Menteri kita.
Apakah kita di Malaysia juga terpaksa mengikuti peraturan dunia baru itu dari segi peraturan moralnya atau dari segi peraturan ekonomi pasarannya, atau adakah kita akan menjadi mangsa peraturan dunia baru yang diciptakan oleh dunia luar itu? Saya berharap tidak. Sama-samalah kita perhatikan perkembangan seterusnya.

Monday, July 17, 2006

Kekejaman zionis tiada noktah,

Kekejaman terhadap umat Islam uji persaudaraan
Oleh Mohd Zamri Shafie

CUBIT paha kanan, paha kiri terasa - itulah ungkapan yang paling tepat bagi menggambarkan kisah sedih dan pilu yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan umat Islam seluruh dunia amnya.

Perasaan sedih dan pilu mengenang nasib umat Islam yang lain adalah fitrah yang sudah tertanam dalam diri setiap individu Muslim yang mengucapkan kalimah syahadah yang agung iaitu kalimah yang membezakan seseorang itu beriman dengan Allah dan rasul-Nya atau sebaliknya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Diumpamakan orang mukmin dalam hal kasih mengasihi, sayang menyayangi, hubung menghubungi di antara mereka mereka laksana satu jasad. Apabila mengadu sakit salah satu anggotanya, maka ikut terasa kesakitan kesakitan itu keseluruhan badan dan berjaga malam.” (Hadis riwayat Muslim).
Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berusaha dan bertawakal serta iringinya dengan doa. Kita disyariatkan berdoa untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat, sesama Islam hatta kepada bukan Islam sekalipun supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah.Doa ialah pengharapan seseorang untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah dengan memohon secara langsung kepada-Nya. Setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan masing-masing sama ada secara positif atau negatif. Ini kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup yang berupa cabaran, halangan, dugaan dan sebagainya. Justeru, mereka berdoa kepada Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat mereka terkabul.Menurut pandangan Islam, doa adalah suatu cara yang perlu digunakan oleh orang Islam bagi mendapat pertolongan daripada Allah. Kita hendaklah berdoa setelah didahului dengan usaha dan ikhtiar yang gigih, seterusnya doa digunakan untuk kebaikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” – (Surah al-Baqarah, ayat 186).
Usaha jitu perlu digerakkan dengan memberi kesedaran supaya setiap mukmin menyumbang sesuatu bagi membantu saudara seagama yang tidak bernasib baik. Setiap mukmin perlu memberi sumbangan yang berupa material atau sumbangan dengan berdoa kepada Yang Maha Kuasa mohon pertolongan kerana orang mukmin saling memerlukan di antara satu sama lain.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan. Sokong menyokong di antara satu sama lain. Dan Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan menyilangkan di antara jari-jemar Baginda.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Hari ini mereka diuji dengan pelbagai cabaran dan halangan. Ia juga menguji orang Islam yang lain agar dapat mempersiapkan diri dengan melakukan jihad sama ada dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kita juga perlu menyedari bahawa kehidupan adalah ujian Yang Maha Esa, untuk melihat sejauh mana hamba-Nya yang berlegar mencari kehidupan yang diredai dan diberkati-Nya.Ada yang diuji dengan nikmat kesenangan dan ada yang diuji dengan kesengsaraan. Allah menjanjikan balasan syurga setelah mendatangkan ujian untuk hamba-Nya. Mukmin yang tabah menghadapi ujian akan dekat dirinya dengan Allah dan pertolongan Allah akan hadir memayungi kehidupannya.
Firman-Nya bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” – (Surah al-Baqarah, ayat 214).
Oleh Mohd Zamri
Imam Masjid Putrajaya, Putrajaya

Sunday, July 16, 2006

Fikiran bercapah pelajar melayu kini...


Oleh WAHID HASHIM

KAJIAN menunjukkan pelajar Melayu berfikir secara bercapah (divergent thinkers) dan penyerap (assimilator) yang lebih banyak menggunakan cara belajar pemerhatian dan renungan. Sementara pelajar Cina pula mempunyai fikiran tertumpu (converger) dan lebih banyak menggunakan strategi belajar pengeksperimanan aktif dan pengalaman konkrit. Kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul Samad Hadi, banyak yang telah dikaji mengenai punca kelemahan yang menyumbang kepada pencapaian yang tidak memberangsangkan pelajar Melayu. Beliau yang memetik kajian seorang penyelidik, Amiruddin Mohd Yusof yang membuat kajian itu pada 1997, mendapati, pelajar Melayu mempunyai falsafah jangan menyusahkan orang tua (autoriti). ``Dalam kes di universiti, `orang tua' merujuk kepada pensyarah,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja semasa Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian Tinggi di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini. Kertas kerja beliau bertajuk Senario Semasa Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Menyentuh mengenai pencapaian pelajar Melayu, Dr. Abdul Samad mengakui ia adalah isu duri dalam daging hampir di setiap universiti. Katanya, kelemahan yang sering diperkatakan ialah sikap yang tidak mengutamakan kecemerlangan, sekadar lulus cukup makan, malas berfikir, teknik pembelajaran lemah, kurang daya inisiatif, kurang pengetahuan am dan isu-isu, serta mengamalkan budaya last-minute. Selain itu, katanya, pelajar Melayu dilihat mudah jatuh cinta sejak di peringkat awal lagi. ``Mereka lebih suka bergaul dengan kelompok sendiri, kelompok Melayu, dan di kalangan anak negeri sendiri,'' katanya. Senario masa kini menunjukkan wujudnya persaingan yang sengit di antara IPTA dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam mendapatkan calon atau pelajar. Secara umumnya, kata beliau, kebanyakan pelajar Melayu telah diterima masuk ke IPTA sementara pelajar bukan Melayu memasuki IPTS. Sejak tiga tahun yang lalu, kerajaan menetapkan pengambilan prasiswazah mengikut nisbah sains dan bukan sains ialah 60:40. Bagaimanapun sehingga kini, nisbah berkenaan belum dicapai sepenuhnya. Didapati IPTA dan IPTS masih menghadapi kekangan memandangkan kedua-dua IPTA dan IPTS itu masih bergantung kepada penawaran yang terhad. ``Selain itu, terdapat juga pelajar yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran,'' ujarnya. Mengikut statistik, pengambilan pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki. ``Mungkinkah trend ini akan berpanjangan?,'' ujarnya. Sebagai contoh, di UKM, kira-kira 63 peratus pelajar perempuan telah diterima masuk semasa pengambilan sesi 2001/2002 berbanding 37 peratus pelajar lelaki. Namun kertas kerja beliau lebih berfokus kepada senario semasa pelajar Melayu. Beliau mengupas isu pelajar Melayu itu kepada aspek politik (politik pelajar), kebudayaan, keagamaan, hubungan antara etnik, gaya berfikir, pencapaian akademik, sosial, kecergasan atau kesihatan, sosio ekonomi (latar belakang keluarga), keupayaan bahasa Inggeris dan kemampuan atau penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menurut beliau, secara keseluruhannya, ramai mahasiswa belum mempunyai ideologi yang mantap. Golongan ini, kata beliau, mewakili 60 peratus pelajar di kampus. Sebaliknya, wujud segelintir pelajar yang mempunyai idealisme perjuangan dan terheret ke kancah politik, dan golongan ini tidak melebihi 30 peratus, kata Dr. Abdul Samad. ``Selebihnya tidak memikirkan apa-apa dan kebanyakannya adalah bukan bumiputera,'' katanya. Dalam kelompok 60 peratus ini, beliau berpendapat mereka boleh dikatakan berkecuali. ``Mereka ini memihak kepada parti-parti dan calon-calon berdasarkan penilaian peribadi,'' ujarnya. Faktor perkauman, persahabatan, kenegerian dan kempen juga diambil kira di samping rekod kepimpinan kedua-dua pihak. Kata beliau, para pelajar juga berkecenderungan untuk memihak berdasarkan kepada isu. ``Dalam isu tertentu, mereka seperti menyokong pihak A, dan dalam isu yang lain pula, mereka seolah-olah menyokong pihak B,'' katanya. Menyentuh mengenai hubungan etnik, beliau berkata, pandangan umum mengenai hubungan antara kaum di kampus ialah kebanyakan mereka - atau 80 peratus - mengaku menyimpan perasaan perkauman yang menebal. Perasaan ini ditunjukkan dengan adanya polarisasi kaum, perasaan curiga-mencurigai, pandangan pelajar yang sempit dan persatuan-persatuan pelajar yang berteraskan etnik. Mereka menyatakan perasaan kaum ini berlaku kerana pengaruh masyarakat luar, pemimpin-pemimpin parti politik, ibu bapa dan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Kata Dr. Abdul Samad, walaupun secara zahirnya hubungan pelajar-pelajar Melayu dengan bukan Melayu adalah baik, tetapi mereka masih belum menerima untuk tinggal bersama dalam satu bilik di kolej kediaman, belajar secara berkumpulan, makan di kantin secara bersama-sama. Mereka juga masih belum menerima persatuan yang dipelopori oleh pelajar bukan bumiputera dan sukan yang dikuasai oleh bukan bumiputera. Gaya berfikir pelajar Melayu dan bukan Melayu juga berbeza, kata Dr. Abdul Samad. ``Jelas nampak perbezaan antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera,'' ujarnya. Antaranya, kata beliau ialah pelajar Melayu tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sekiranya ibu bapa atau orang lain tidak melakukannya untuk mereka.

Can't find what are you looking for? Try Google search!

Google