YABADABADOO ADVERTISEMENT

[Yabadaba-doo Advertisement] - The new Marketplace of Malaysia. - Free Post Ads all around Malaysia & WorldWide

Sunday, June 03, 2007

Melayu hilang saintis berilmu...


DATUK Mohd. Ghazali Abdul Rahman lahir di Tanjung Malim pada 16 Mei 1938. Beliau membesar di situ kerana ayahnya mengajar di Sultan Idris Training College (SITC). Ghazali kemudian belajar di Sekolah Jalan Batu dan Victoria Institution di Kuala Lumpur. Ayahnya yang kemudian menjadi Ketua Penterjemah di Dewan Bahasa dan Pustaka membiayai pengajiannya sehingga peringkat kedoktoran dalam bidang biokimia. Beliau bahkan dianggap sebagai anak Melayu pertama berkelulusan PhD. dalam bidang biokimia dan dengan kelulusan itu beliau menyertai Universiti Malaya (UM) dan mengajar di Fakulti Perubatan.
Apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada tahun 1970, beliau menjadi Dekan Fakulti Sains yang pertama. Pada masa itu kebanyakan orang tidak yakin dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu peringkat tinggi terutama dalam bidang sains dan teknologi. Bahkan orang Melayu tidak diyakini dapat menceburi bidang sains dan teknologi. Semasa menjadi pensyarah di UM, beliau sendiri melihat dengan prihatin akan nasib 18 daripada 22 pelajar Melayu Fakulti Sains di universiti itu yang gagal dan dibuang pada tahun pertama pengajian. Maka, Ghazali bersama rakan-rakan lain pada Julai 1968 telah menyuarakan dengan lantang akan keperluan sebuah universiti ‘kebangsaan’. Maka tertubuhlah Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan pada 25 Ogos 1968. Kerajaan mengumumkan persetujuan menubuhkan Universiti Kebangsaan pada 7 September 1968.
Sumbangan
Satu lagi sumbangan besar beliau ialah memperkenalkan program matrikulasi pertama di UKM pada tahun 1974. Dengan ini, pelajar Melayu yang cemerlang khususnya dari luar bandar diberi tempat melanjutkan pengajian tinggi ke UKM khususnya bagi pelbagai bidang sains dan teknologi.
Beliau menjadi Timbalan Naib Canselor UKM antara 1975-1982 dan beberapa kali memangku jawatan Naib Canselor. Semasa menjadi Dekan Fakulti Sains, beliau telah mengasaskan program akademik yang liberal, luas dan berpandangan jauh. Gugusan sains kemudiannya telah berkembang pesat selain beliau juga turut memainkan peranan dalam menubuhkan Fakulti Perubatan yang menggunakan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris dalam pengajarannya.
Bagi melahirkan siswazah yang berilmu dan seimbang, beliau juga telah memulakan penawaran kursus Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia dan kursus Sejarah dan Falsafah Sains yang diwajibkan kepada semua pelajar. Dan ini juga penting dalam menyemai perasaan saling memahami di kalangan pelajar berbilang agama. Pada hari ini, usaha beliau telah berkembang lebih besar dan kini wujud Pusat Pengajian Umum di UKM yang menawarkan pelbagai kursus yang dapat mengimbangkan bidang pengkhususan pelajar dengan pelbagai bidang sains liberal.
Pada April 1982, beliau dilantik menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (Puspati) dan tidak lama kemudian pada Mei 1982 beliau dipinjamkan ke Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar sebagai Ketua Pengarah, Unit Tenaga Nuklear sehingga 1993. Selepas bersara beliau dilantik menjadi ahli dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Semasa menjadi Ketua Pengarah Unit Tenaga Nuklear, beliau memperkenalkan konsep korporat di pusat penyelidikan itu. Dengan ini, pelbagai teknologi dapat dipindahkan daripada Unit Tenaga Nuklear kepada pelbagai sektor industri di Malaysia. Antara yang dapat dimanfaat oleh sektor industri ialah teknologi sterialisasi sinaran pemprosesan alur elektron dan pengujian tanpa musnah.
Maka jelaslah bahawa Ghazali adalah salah seorang ahli sains Melayu yang telah mendapat inspirasi dan mempunyai keyakinan dan komitmen bagi melaksanakan program latihan tenaga manusia yang memenuhi keperluan negara.
Jumaat lalu Allahyarham pulang ke rahmatullah selepas menabur bakti dan jasa memupuk kesedaran kepada bangsa Melayu mengenai pentingnya menguasai ilmu dalam bidang sains.

- ROOSFA HASHIM ialah pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Can't find what are you looking for? Try Google search!

Google