YABADABADOO ADVERTISEMENT

[Yabadaba-doo Advertisement] - The new Marketplace of Malaysia. - Free Post Ads all around Malaysia & WorldWide

Tuesday, February 14, 2006

Ingati Allah ketika ditimpa musibah.

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

DALAM Islam, apabila seseorang itu ditimpa sesuatu musibah, mereka dituntut untuk mengingati Allah. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Ulama mengingatkan kita, dengan menyebut ucapan itu. Hati kita menjadi tenang dan terhibur dengan musibah yang menimpa kerana menyedari bahawa semua yang ada di atas muka bumi ini adalah milik Allah.Justeru, sekiranya berlaku sesuatu musibah menandakan kembalinya makhluk itu kepada Allah. Allah memperlakukan makhluknya sesuai dengan kehendak-Nya.Mereka yang mengucapkan doa itu ketika ditimpa musibah akan diberi pahala oleh Allah.Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah, beliau bercerita:Pada suatu hari Abu Salamah datang kepada aku dari tempat Rasulullah SAW, lalu dia menceritakan, aku mendengar ucapan baginda yang membuatkan aku berasa senang. Baginda bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang daripada kaum Muslimin ditimpa musibah, lalu dia membaca inna lillahi wa inna ilaihi rajiun, kemudian mengucapkan (Ya Allah, berikanlah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya), melainkan akan dimakbulkan doanya itu.”Ummul Salamah kemudian menghafal doa itu dan ketika Abu Salamah meninggal dunia, beliau mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi rajiun dan membacakan doa selepasnya iaitu “Ya Allah, berikanlah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya.”Kemudian beliau berasa hairan, bagaimana boleh mendapatkan yang lebih baik daripada Abu Salamah.Kehairanan Ummul Salamah terjawab. Selepas edahnya berakhir, maka beliau dilamar oleh Rasulullah SAW.Ketika dilamar, beliau memberitahu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah SAW kedudukanku akan membuat kamu tidak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat kuat cemburu, aku sendiri sudah tua dan mempunyai ramai anak.”Selepas mendengar keluhan Ummul Salamah, Baginda bersabda bermaksud: “Mengenai cemburumu yang engkau sebutkan, semoga Allah akan melenyapkannya daripada dirimu. Usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami dan mengenai keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga.”Selepas mendengar penjelasan Rasulullah SAW, Ummul Salamah menyerahkan segala keputusan kepada Baginda. Kemudian Baginda menikahinya.Ummul Salamah pun berkata: “Allah memberikan ganti kepadaku yang lebih baik daripada Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW.”Waktu untuk menyebut doa itu pula tidaklah terhad ketika musibah itu menimpa seseorang, sebaliknya boleh disebut juga walaupun musibah itu telah lama berlaku. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Fatimah binti Husain, daripada ayahnya Husain bin Ali, daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim daripada lelaki mahupun perempuan ditimpa suatu musibah, lalu dia mengingatinya, meskipun waktunya sudah lama berlalu, kemudian dia membaca inna lillahi wa inna ilaihi rajiun, melainkan Allah akan memperbaharui pahala baginya pada saat itu, seperti pahala yang diberikan-Nya pada hari musibah itu menimpa.”Selain memperoleh pahala, dengan menyebut doa itu juga, seseorang itu akan diberi ganjaran berbentuk rumah di syurga kelak yang diberi nama dengan Baitul Hamdi. Diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad daripada Abu Sinan, beliau menceritakan: “Aku sedang mengebumikan anakku. Ketika itu aku masih berada di liang kubur, tiba-tiba tanganku ditarik oleh Abu Talhah dan mengeluarkan diriku dari liang itu sambil berkata: Mahukah aku sampaikan berita gembira untukmu? Mahu, jawab Abu Sinan. Abu Talhah berkata, al-Dahhak bin Abdul Rahman telah mengkhabarkan kepadaku daripada Abu Musa, katanya Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah berfirman: “Wahai Malaikat Maut, apakah engkau sudah mencabut nyawa anak hamba-Ku? Apakah engkau mencabut nyawa anak kesayangannya dan buah hatinya? Ya, jawab malaikat. Lalu apa yang diucapkan? Tanya Allah. Malaikat pun menjawab, dia memuji-Mu dan mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Maka, Allah berfirman (kepada malaikat): buatkan untuknya sebuah rumah di syurga dan namakanlah rumah itu dengan Baitul Hamdi (rumah pujian).”Itulah janji Allah kepada hamba-Nya yang mengucapkan ‘inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’ dan kemudian mengucapkan doa ‘Ya Allah, berikanlah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti kepadaku yang lebih baik daripadanya’ atau hanya menyebut ‘inna lillahi wa inna ilaihi rajiun’ apabila ditimpa musibah.

No comments:

Can't find what are you looking for? Try Google search!

Google