APABILA kita membicarakan mengenai kedudukan bahasa Melayu, adakah memadai peranannya hanya sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan saja, tidak sebagai alat pembangunan atau kemajuan negara dalam sektor ekonomi dan perusahaan?
Persoalan ini sepatutnya diberi perhatian serius. Jika kita sebagai bangsa Melayu yang mewarisi bahasa Melayu tidak memelihara aset budaya penting ini, lama kelamaan bahasa itu akan hilang kehebatannya. Bahasa mempunyai kaitan rapat dengan budaya, sekali gus dengan daya kreativiti sesuatu bangsa. Dalam setiap bahasa terkandung nilai budaya watan penutur bahasa itu. Sejarah perkembangan Islam pada Alam Melayu tidak boleh dipisahkan daripada peranan bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan saja menjadi bahasa tulisan untuk kitab besar dan kesusasteraan, malah menjadi penghantar komunikasi perkembangan Alam Melayu.Pendakwah berdagang menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi di rantau itu. Berdasarkan perkembangan bahasa Melayu yang hebat itulah, dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.Sedar atau tidak, bangsa Melayu hari ini lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan. Pada anggapan kita inilah bahasa kemajuan pada era globalisasi ini. Mungkin ada yang berhujah bahasa Inggeris sebagai bahasa global, jadi sesuailah ia digunakan oleh peniaga supaya Malaysia akan ‘berwajah global’ dan dapat menarik pelaburan asing. Ini suatu pandangan yang lemah dan sukar untuk diterima. Sebahagian daripada kita juga berpandangan bahasa Melayu tidak dapat menyediakan bahan rujukan yang banyak, terutama dalam bidang Sains dan Teknologi yang menjadi bidang terpenting untuk membangunkan negara. Alasan ini sebenarnya tidak berasas. Kita boleh menyingkap kegemilangan Tamadun Islam dalam bidang penguasaan ilmu yang berpusat di Baghdad, terutama dengan penubuhan Baitul Hikmah yang menjadi perpustakaan dan pusat terjemahan. Zaman awalnya iaitu sekitar 750M-900M, ialah zaman penterjemahan apabila ilmu pengetahuan yang didapati dari tamadun luar seperti Yunani, India dan China diterjemahkan terlebih dulu ke dalam bahasa Arab, sebelum ilmu itu disebarkan kepada masyarakat Arab ketika itu. Zaman berikutnya dikenali sebagai zaman keemasan sekitar 990M-1100M, apabila mereka terus mengkaji, mendalami dan memperkembangkan ilmu yang didapati. Metodologi sama digunakan bangsa Jepun dan Jerman untuk membentuk tamadun bangsa. Bidang terjemahan terus diperhebatkan dan bahasa terus diperkasakan. Namun, perkara ini tidak ketara di Malaysia. Punca masalahnya ialah kerana sejak awal lagi kita memberi nilai rendah pada bahasa Melayu. Kita tidak ada keyakinan dan tidak percaya keupayaan bahasa Melayu lantaran kejahilan kita.Fenomena inilah yang mengheret kita untuk terus melihat kehebatan hanya ada dalam bahasa Inggeris dan tidak dalam bahasa Melayu. Secara sedar atau tidak, kita sendiri yang memisah dan meminggirkan bahasa Melayu. Kali ini bukan melalui bentuk penjajahan tetapi melalui perkembangan ilmu, ekonomi dan desakan teknologi global yang dikatakan tidak dapat dielakkan dan menerusi dasar yang sering berubah.Jika diperhatikan bangsa yang tidak menganggap bahasa Inggeris penting untuk kemajuan negara atau penduduknya, kebanyakannya adalah bangsa yang tidak pernah dijajah oleh kuasa asing seperti Jepun, Jerman, Perancis dan Taiwan. Perlu diingatkan bahawa ini bukanlah bererti mereka menolak kepentingan bahasa Inggeris, tetapi bagi mereka bahasa Inggeris penting hanya sebagai bahasa perhubungan antarabangsa, tidak sebagai bahasa budaya bangsa atau bahasa untuk pembangunan atau kemajuan dalam negeri. Bagi mereka tamadun bangsa perlu didirikan di atas acuan dan identiti sendiri, bukannya meminjam hak orang lain. Kesimpulannya, kita perlu sedar bahawa kelestarian dan kehebatan bahasa Melayu terletak sepenuhnya di tangan kita sebagai umat Melayu yang berada di bawah kepemimpinan Melayu. Orang Melayu seharusnya mempunyai perasaan atau emosi yang kuat terhadap hak, budaya dan bahasa mereka. Selagi perasaan bangga dan hebat dengan bahasa yang dimiliki tidak ada dalam setiap individu Melayu, selagi itulah bahasa itu tidak dirasa kehebatan dan ketinggiannya.
Oleh Dr Ratna Roshida Abd Razak (Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang)
No comments:
Post a Comment