YABADABADOO ADVERTISEMENT

[Yabadaba-doo Advertisement] - The new Marketplace of Malaysia. - Free Post Ads all around Malaysia & WorldWide

Sunday, July 16, 2006

Fikiran bercapah pelajar melayu kini...


Oleh WAHID HASHIM

KAJIAN menunjukkan pelajar Melayu berfikir secara bercapah (divergent thinkers) dan penyerap (assimilator) yang lebih banyak menggunakan cara belajar pemerhatian dan renungan. Sementara pelajar Cina pula mempunyai fikiran tertumpu (converger) dan lebih banyak menggunakan strategi belajar pengeksperimanan aktif dan pengalaman konkrit. Kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Abdul Samad Hadi, banyak yang telah dikaji mengenai punca kelemahan yang menyumbang kepada pencapaian yang tidak memberangsangkan pelajar Melayu. Beliau yang memetik kajian seorang penyelidik, Amiruddin Mohd Yusof yang membuat kajian itu pada 1997, mendapati, pelajar Melayu mempunyai falsafah jangan menyusahkan orang tua (autoriti). ``Dalam kes di universiti, `orang tua' merujuk kepada pensyarah,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja semasa Kolokium Pemajuan Akademik Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian Tinggi di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini. Kertas kerja beliau bertajuk Senario Semasa Pelajar Melayu Di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Menyentuh mengenai pencapaian pelajar Melayu, Dr. Abdul Samad mengakui ia adalah isu duri dalam daging hampir di setiap universiti. Katanya, kelemahan yang sering diperkatakan ialah sikap yang tidak mengutamakan kecemerlangan, sekadar lulus cukup makan, malas berfikir, teknik pembelajaran lemah, kurang daya inisiatif, kurang pengetahuan am dan isu-isu, serta mengamalkan budaya last-minute. Selain itu, katanya, pelajar Melayu dilihat mudah jatuh cinta sejak di peringkat awal lagi. ``Mereka lebih suka bergaul dengan kelompok sendiri, kelompok Melayu, dan di kalangan anak negeri sendiri,'' katanya. Senario masa kini menunjukkan wujudnya persaingan yang sengit di antara IPTA dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam mendapatkan calon atau pelajar. Secara umumnya, kata beliau, kebanyakan pelajar Melayu telah diterima masuk ke IPTA sementara pelajar bukan Melayu memasuki IPTS. Sejak tiga tahun yang lalu, kerajaan menetapkan pengambilan prasiswazah mengikut nisbah sains dan bukan sains ialah 60:40. Bagaimanapun sehingga kini, nisbah berkenaan belum dicapai sepenuhnya. Didapati IPTA dan IPTS masih menghadapi kekangan memandangkan kedua-dua IPTA dan IPTS itu masih bergantung kepada penawaran yang terhad. ``Selain itu, terdapat juga pelajar yang cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran,'' ujarnya. Mengikut statistik, pengambilan pelajar perempuan mengatasi pelajar lelaki. ``Mungkinkah trend ini akan berpanjangan?,'' ujarnya. Sebagai contoh, di UKM, kira-kira 63 peratus pelajar perempuan telah diterima masuk semasa pengambilan sesi 2001/2002 berbanding 37 peratus pelajar lelaki. Namun kertas kerja beliau lebih berfokus kepada senario semasa pelajar Melayu. Beliau mengupas isu pelajar Melayu itu kepada aspek politik (politik pelajar), kebudayaan, keagamaan, hubungan antara etnik, gaya berfikir, pencapaian akademik, sosial, kecergasan atau kesihatan, sosio ekonomi (latar belakang keluarga), keupayaan bahasa Inggeris dan kemampuan atau penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Menurut beliau, secara keseluruhannya, ramai mahasiswa belum mempunyai ideologi yang mantap. Golongan ini, kata beliau, mewakili 60 peratus pelajar di kampus. Sebaliknya, wujud segelintir pelajar yang mempunyai idealisme perjuangan dan terheret ke kancah politik, dan golongan ini tidak melebihi 30 peratus, kata Dr. Abdul Samad. ``Selebihnya tidak memikirkan apa-apa dan kebanyakannya adalah bukan bumiputera,'' katanya. Dalam kelompok 60 peratus ini, beliau berpendapat mereka boleh dikatakan berkecuali. ``Mereka ini memihak kepada parti-parti dan calon-calon berdasarkan penilaian peribadi,'' ujarnya. Faktor perkauman, persahabatan, kenegerian dan kempen juga diambil kira di samping rekod kepimpinan kedua-dua pihak. Kata beliau, para pelajar juga berkecenderungan untuk memihak berdasarkan kepada isu. ``Dalam isu tertentu, mereka seperti menyokong pihak A, dan dalam isu yang lain pula, mereka seolah-olah menyokong pihak B,'' katanya. Menyentuh mengenai hubungan etnik, beliau berkata, pandangan umum mengenai hubungan antara kaum di kampus ialah kebanyakan mereka - atau 80 peratus - mengaku menyimpan perasaan perkauman yang menebal. Perasaan ini ditunjukkan dengan adanya polarisasi kaum, perasaan curiga-mencurigai, pandangan pelajar yang sempit dan persatuan-persatuan pelajar yang berteraskan etnik. Mereka menyatakan perasaan kaum ini berlaku kerana pengaruh masyarakat luar, pemimpin-pemimpin parti politik, ibu bapa dan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Kata Dr. Abdul Samad, walaupun secara zahirnya hubungan pelajar-pelajar Melayu dengan bukan Melayu adalah baik, tetapi mereka masih belum menerima untuk tinggal bersama dalam satu bilik di kolej kediaman, belajar secara berkumpulan, makan di kantin secara bersama-sama. Mereka juga masih belum menerima persatuan yang dipelopori oleh pelajar bukan bumiputera dan sukan yang dikuasai oleh bukan bumiputera. Gaya berfikir pelajar Melayu dan bukan Melayu juga berbeza, kata Dr. Abdul Samad. ``Jelas nampak perbezaan antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera,'' ujarnya. Antaranya, kata beliau ialah pelajar Melayu tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sekiranya ibu bapa atau orang lain tidak melakukannya untuk mereka.

No comments:

Can't find what are you looking for? Try Google search!

Google