YABADABADOO ADVERTISEMENT

[Yabadaba-doo Advertisement] - The new Marketplace of Malaysia. - Free Post Ads all around Malaysia & WorldWide

Wednesday, May 30, 2007

Israel lakar semula Asia Barat

Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA

BEDILAN tentera rejim haram Israel ke atas kawasan kejiranan Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh (walaupun tidak ditujukan kepada pemimpin tersebut) adalah isyarat jelas menunjukkan bahawa pihak Yahudi Zionis menyasarkan kepimpinan politik Hamas.
Serangan bertubi-tubi di Gaza itu adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk memusnahkan terus Hamas sebagai sebuah pertubuhan politik dan ketenteraan serta menggugat kestabilan kerajaan penyatuan kebangsaan Palestin yang sah itu.
Namun seperti biasa alasan rejim pengganas Yahudi dalam serangan udara tersebut ialah menyasarkan keupayaan Hamas melancarkan serangan roket Al Qassem di Sederot.
Sepanjang dua minggu ini lebih 50 orang telah mati manakala berdozen lagi mengalami kecederaan termasuk wanita dan kanak-kanak selain banyak bangunan dan infrastruktur musnah.
Kalau dahulu rejim pengganas Israel hanya menyasarkan sayap ketenteraan Hamas namun kenyataan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert jelas menunjukkan usaha rejim Yahudi itu adalah untuk meranap, membubar dan menghancurkan organisasi dan kepimpinan Hamas.
Serangan udara melalui helikopter dan jet pejuang dengan menggunakan senjata yang mengena tepat kepada sasaran terhadap pejabat-pejabat kewangan dan perniagaan Hamas di Tebing Gaza.
Rejim pengganas ini mendakwa di sinilah tempat di mana wang diedarkan kepada kumpulan-kumpulan pengganas dan pertubuhan-pertubuhan militia di bawah pengaruh Hamas.
Di Tebing Barat, tentera Israel menahan ahli-ahli utama kerajaan Palestin termasuk menteri Kabinet Wasfi Kabaha. Khamis lalu sahaja 33 orang ahli politik Hamas, ahli perundangan, datuk bandar empat bandar di Tebing Barat termasuk Nablus dan Qalqilya dan ahli majlis tempatan ditahan dalam serbuan sebelah malam.
Menteri Penerangan Palestin, Mustafa Barghouti menyifatkan serangan udara bertubi-tubi Israel sebagai bencana kepada demokrasi Palestin dan masyarakat madaninya.
Bayangkanlah pada tahun lalu sahaja lebih 40 orang ahli politik Hamas ditahan termasuk beberapa orang menteri dan jurucakap Parlimen, Aziz Dweik berikutan penangkapan seorang koperal tentera Israel, Gilad Shalit.
Mereka adalah ahli-ahli dilantik dan memenangi pilihan raya sah yang diadakan di Palestin. Bukankah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menyatakan sebelum ini bahawa beliau mahu meniupkan angin demokrasi di Asia Barat? Selepas pilihan raya diadakan di Palestin dan Hamas telah memenanginya kenapa Israel masih menyerang Palestin? Ini kerana parti yang mereka mahukan menang dalam pilihan raya iaitu Fatah kalah dalam pilihan raya.
Serbuan
Dalam serbuan baru-baru ini, pegawai kanan Palestin yang juga Menteri Pendidikannya, Nasser Eddin al-Shaer yang bukan anggota Hamas pun telah ditahan. Beliau pernah ditahan dalam serbuan tahun lalu tetapi dibebaskan oleh mahkamah tentera kerana tiada bukti-bukti yang dapat menahan beliau.
Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz semasa temu bual radio berkata, bahawa Israel tidak akan membuat sebarang perbezaan antara ahli politik dan sayap ketenteraan Hamas.
Oleh itu dapatlah dikatakan Israel tidak akan mempedulikan siapakah pemimpin sama ada Ismail Haniyeh atau pemimpin-pemimpin lain. Mereka bukan sahaja boleh mengugut atau menggertak dengan serangan udara tetapi terus membunuh jika mahu.
Israel juga dikatakan turut campurtangan dalam perbalahan antara Fatah dan Hamas dengan memberikan bantuan secara tidak langsung kepada Fatah dengan membunuh sekurang-kurangnya 50 orang anggota dalam serangan udaranya.
Rejim ganas Israel juga cuba melumpuhkan organisasi Hamas dengan cubaan mencedera dan membunuh para pemimpinnya. Ia cuba memporak-perandakan kerajaan penyatuan sekarang.
Buktinya dapat dilihat kepada kenyataan Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Khamis lepas Katanya, beliau tidak tahu sama ada kerajaan penyatuan semasa Fatah-Hamas sudah sampai tahap ‘akhirnya’ tetapi baginya ia adalah kerajaan yang tidak berfungsi.
Apakah maksud kenyataan Solana yang jelas bagaikan terangnya cahaya matahari itu? Secara retorik adakah ini bermaksud bahawa permusuhan rejim pengganas Israel melalui serangan udara ke atas Gaza dan Tebing Barat sekarang bertujuan untuk melumpuh dan melemahkan kerajaan sedia ada.
Untuk survival Israel mesti terus merobohkan kerajaan sekarang dengan memporak-peranda dan mengacau-bilau keadaan di Palestin supaya kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi lagi.

No comments:

Can't find what are you looking for? Try Google search!

Google