Bersama Johan Jaaffar
Hartawan Yahudi Australia kuasai hampir semua media massa utama
Hartawan Yahudi Australia kuasai hampir semua media massa utama
ANTARA stesen televisyen (TV) yang paling kuat menyokong Presiden George W Bush di Amerika Syarikat (AS) ialah Fox TV. Banyak pemerhati dan pengkritik media percaya saluran berita stesen TV itu membuang semua prinsip kewartawanan ke tepi bagi memungkinkan liputan yang jelas bias dan berat sebelah baik dalam mewajarkan tindakan Bush selepas September 11, 2001 atau ketika melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq.Fox TV dimiliki oleh Rupert Murdoch, 76, yang kini menguasai hampir semua jenis perniagaan membabitkan media – dari buku hingga TV, dari akhbar hingga rangkaian sosial ‘My Space’ di alam siber. Murdoch menguasai bukan saja langit terbuka dengan stesen TVnya yang membawakan hiburan, berita dan sukan tetapi dunia penerbitan buku dan akhbar. Kini beliau pemilik empayar media yang paling besar dan berpengaruh di dunia. Satu ketika dulu beliau meramalkan, dalam waktu yang terdekat hanya tiga syarikat media akan menguasai dunia – News Corp milik beliau salah sebuah daripadanya. Pada 1980-an, ada lebih 50 syarikat utama menguasai media. Hari ini media global dikuasai oleh beberapa orang saja, termasuk Murdoch.Media global berubah dengan hebatnya sejak 20 tahun lalu. Satu ketika dulu, secara tradisionalnya pemilik akhbar akan menumpukan perhatian pada penerbitan dalam bentuk cetakan sedangkan orang lain menguasai TV. Tetapi kelonggaran peraturan dalam kawalan ke atas media di banyak negara maju mengubah semua itu. Hari ini orang seperti Murdoch boleh menguasai semua cabang media.Murdoch berkelulusan Universiti Oxford di United Kingdom (UK) kembali ke Australia untuk membantu ayahnya Keith yang memiliki kepentingan dalam beberapa akhbar kecil. Pada 1956 beliau memulakan majalah TV yang berjaya, TV Week. Beliau juga mengukuhkan New Idea, majalah wanita paling tua dan paling popular di negara itu. Pengalaman mengendalikan The News, sebuah akhbar kecil di Adelaide mengajarnya mengenai pentingnya kuasa media.Pada 1968 Murdoch mencuba nasibnya di UK. Dunia media negara itu berpusat di Fleet Street dan menjadi milik eksklusif kelompok elit. Beliau bermula dengan menguasai The News of The World, akhbar tabloid sensasi yang ketika itu mempunyai edaran lebih enam juta naskhah sehari. Murdoch kemudian membeli sebuah lagi akhbar sensasi UK, The Sun pada 1969, hari ini akhbar itu mempunyai edaran melebihi tiga juta naskhah. Murdoch tidak mahu namanya dikaitkan hanya dengan penerbitan murahan dan sensasi. Tidak lama kemudian beliau mengambil alih The Times (London), akhbar yang sangat dihormati di UK. Pembelian akhbar itu menarik perhatian orang ramai terhadap motif sebenar beliau.Satu lagi perkara yang dilakukan oleh Murdoch ialah memecahkan kekuatan kesatuan pekerja akhbar di Fleet Street dengan memindahkan operasinya ke Wapping di mana kilang cetak akhbar elektronik pertama ditempatkan. Dengan cara itu beliau dapat mengurangkan kos dan mengatasi masalah kesatuan sekerja. Murdoch memulakan ‘perang harga’ di London yang menjejaskan pengedaran akhbar lain di UK. Murdoch dibantu Margaret Thatcher Perdana Menteri Britain ketika itu. Thatcher sendiri sedang memerangi kesatuan sekerja yang memberikan banyak masalah kepada ekonomi UK dan kerajaan beliau.Walaupun The Times bukan akhbar arus perdana yang terbesar edarannya di UK, ia mengangkat imej Murdoch. Hari ini Daily Telegraph mempunyai edaran melebihi 900,000 naskhah sehari, 220,000 naskhah lebih tinggi edarannya daripada The Times. Kejayaan di UK menggerakkan beliau untuk melangkah ke AS pada 1973 dengan membeli akhbar San Antonio Express-News. Tidak lama selepas itu beliau memulakan tabloid pasar raya The Star dan kemudian mengambil alih The New York Post. Pada waktu sama Murdoch melihat potensi TV berbayar. Beliau memulakan TV setelit Sky Television di UK yang menyebabkan kerugian yang banyak pada syarikatnya. Sky TV kemudian digabungkan dengan British Satellite Broadcasting menjadi BskyB yang menguasai TV berbayar UK hingga kini.Pada 1986, beliau memulakan Fox News Channel di AS, stesen kabel TV 24 jam. Hari ini juga Murdoch menguasai Sky TV, stesen TV paling besar rangkaiannya di Asia. Baru-baru ini beliau menyatakan hasrat mengambil alih syarikat Dow Jones and Co yang menerbitkan The Wall Street Journal, akhbar perniagaan yang berpengaruh. Tawaran yang diberikan pada keluarga Bancroft yang menguasai syarikat itu ialah RM18.5 bilion. Ramai bertanya mengapa Murdoch sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu untuk penerbitan tradisional yang mulai hilang tarikannya akibat asakan internet? The Wall Street Journal nadi utama kuasa ekonomi dan bisnes dalam media.Tidak ramai tahu pembabitan Murdoch dalam dunia perbukuan. HarperCollins adalah salah sebuah syarikat penerbitan milik beliau. Syarikat ini menjadi penerbit tokoh politik yang pernah membantu Murdoch ketika beliau memulakan kariernya. Syarikat itu misalnya memberikan pendahuluan lumayan kepada Thatcher untuk memoir beliau. Apa lagi yang diidamkan oleh pemilik media keturunan Yahudi dari Australia ini? Kita semua tahu beliau ialah orang yang paling berpengaruh dalam dunia TV yang stesen TVnya tumpuan 110 juta penonton di empat benua. Beliau kini menguasai 175 akhbar dan majalah di tiga benua. Setiap minggu 40 juta naskhah akhbarnya beredar di UK, Australia, AS dan New Zealand.Apa yang jelas ialah Murdoch berkawan baik dengan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon. Tidak hairanlah beliau menjadi penyokong dasar Israel yang paling kuat. Seorang wartawan The Times, Sam Kiley menceritakan bagaimana apabila beliau berjaya mengesan unit tentera Israel yang menembak mati Mohamad Al-Durrah, 12 tahun di Palestin tidak lama dulu. Bagaimanapun beliau diminta oleh ketuanya jangan mengaitkannya dengan budak yang terbunuh itu. Kiley meletak jawatan. Kita semua tahu pengaruh media hari ini. Maklumat ialah kuasa dan siapa yang memiliki maklumat sebenarnya berkuasa. Pemilik media mempunyai kuasa yang luar biasa di dunia hari ini. Menguasai media bermakna mengawal minda dan perasaan penonton dan pembaca. Ia menjadi keperluan dalam mencorakkan nilai dan tanggapan terhadap sesuatu isu. Atau dalam mengemukakan sebarang agenda tersembunyi.Murdoch sentiasa percaya bahawa menguasai wacana umum amat penting. Beliau mahu suara beliau terdengar lantang. Beliau berasakan stesen TV AS terlalu bebas, liberal dan terbuka. Tiga stesen TV utama – ABC, CBS dan NBC – terlalu kritikal terhadap pemerintah. Malah, stesen berita TV 24 jam, CNN juga memberikan banyak masalah pada pimpinan politik AS. Fox TV mengubah semua itu. Dalam era neo-konservatif dan kelompok konservatif menguasai Rumah Putih, Fox TV menjadi corong pembesar suara utama mereka.Media juga adalah perniagaan yang menguntungkan. Tahun lalu News Corp membuat keuntungan RM8.5 bilion dari pendapatan melebihi RM93.6 bilion. Ia jumlah yang bukan kecil. Tetapi bagi orang seperti Murdoch, bukan wang ringgit yang menjadi ukuran. Beliau mempunyai agenda lebih besar: Menguasai anda. Baik ESPN yang sangat popular di kalangan penonton negara ini atau filem dari Twentieth Century Fox (yang menjadi sebahagian daripadaFox Entertainment Group), Murdoch menguasai dunia sukan dan hiburan secara menyeluruh. Berita TV hanya tambahan kepada penguasaan itu.Setiap kali anda menonton rancangan kegemaran anda di TV, ingatlah siapa di belakang stesen itu.
No comments:
Post a Comment