Disini terdapat satu kisah bagaimana iblis dan syaitan menggoda umat Islam supaya meninggalkan sembahyang.Kisah ini berlaku disebuah asrama di suatu daerah.Para pelajarnya datang menuntut ilmu,dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.Mereka rajin menunaikan sembahyang secara berjemaah serta rajin ke masjid mendengar kuliah agama.Tidak cukup dengan itu,setiap daripada mereka saling ingat mengingati antara satu sama lain.Siapa yang lemah akan dikuatkan dan siapa yang kuat akan dibantu supaya menjadi lebih kuat.Pada suatu hari Jumaat,seperti biasa mereka bersiap-siap menuju ke rumah Allah bagi menunaikan solat Jumaat.
Pada hari itu sekitar jam 11.00 pagi,datang beberapa orang wanita.Kedatangan mereka disambut dengan baik.Mereka berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.Waktu berlalu dengan begitu cepat.Jam sudah menunjukkan waktu sembahyang sudah hampir,sudah pukul 1.00 tengah hari.Tetamu yang berkunjung diminta berehat,kerana pemuda-pemuda itu ingin ke masjid.Namun,kerana merasa kurang selesa tetamu mereka memohon pulang.
Hari berlalu seperti biasa.Kedatangan tetamu ke asrama pemuda yang taat beribadat itu tidak membawa pengaruh apa-apa.Namun begitu,keadaan itu tidak bertahan lama.Hari Jumaat yang berikutnya,wanita-wanita itu datang lagi.Suasana pada hari Jumaat sebelumnya berbeza dengan Jumaat hari ini.Tetamu wanita yang sebenarnya sudah dilupai datang semula.Mereka datang pada waktu yang berbeza dengan hari sebelumnya.Kali ini mereka datang pada pukul 12.00 tengah hari.Kedatangan mereka diterima tanpa sebarang syak wasangka.Tepat jam 12.30 tengah hari,tetamu dipohon supaya berehat kerana pemuda-pemuda ini ingin ke masjid.Tetamu wanita terus memohon diri.
Pada Jumaat seterusnya,tetamu wanita ini datang lagi.Kali ini mereka datang pada waktu yang lebih lewat,12.30 tengah hari.Mereka seperti biasa,disambut dengan tangan terbuka.Mereka berbual-bual sehingga akhirnya para pemuda ini sedar mereka sudah terlewat untuk ke masjid.Masing-masing bergegas menuju ke masjid.Sebaik sahaja mereka tiba di masjid,Khatib sudah pun membaca khutbah ke dua.Namun,mereka masih sempat menunaikan sembahyang.
Masa terus berlalu.Jumaat berikutnya menyusul.Tetamu wanita itu datang lagi.Tetapi kali ini betul-betul tepat jam 1.00 tengah hari.Namun,tetamu ini masih dipersilakan masuk.Mereka berbual dengan asyiknya.Semua yang dibual menjadi indah sehingga para pemuda ini lupa segala-galanya.Pemuda-pemuda ini sudah terperangkap dengan rayuan syaitan yang menyesatkan.Kali ini mereka benar-benar sudah terlewat kerana semua orang sudah selesai menunaikan sembahyang Jumaat.Mereka berasa malu.Tetamu dikutuk kerana menjadi punca mereka terlewat.Oleh sebab tidak ada yang memberikan ingatan,mereka terlalai kembali.Kali ini syaitan dan iblis mendapat kemenangan kerana berjaya juga melalaikan para pemuda yang sebelum ini taat beribadah kepada Tuhan.
Kisah ini biasa berlaku dalam masyarakat kita.Syaitan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan kita lupa dan malas untuk menunaikan sembahyang.Apabila sembahyang sudah dilupakan,segala gangguan lain akan mudah ditiup ke dalam jiwa manusia.Oleh itu,kita hendaklah berusaha dan berdoa supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan ajakan syaitan dan iblis yang menyesatkan.
No comments:
Post a Comment